KUALA LUMPUR: Meriahnya suasana apabila berkain batik atau pelikat ketika menaiki kereta api.
Itulah antara keceriaan yang terserlah pada program Keretapi Sarong 19 yang diadakan saban tahun setiap kali tibanya sambutan Hari Malaysia.
Namun bagi tahun ini, sambutannya lebih meriah dengan beberapa pembaharuan.
Astro AWANI berkesempatan untuk menyertai perarakan Keretapi Sarong 19 yang bermula dari Stesen MRT Kajang sekitar jam 8 pagi Isnin.
Program dianjurkan oleh Locco Malaysia sebuah komuniti sosial dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya.

Idea Keretapi Sarong bermula pada tahun 2012 dibawah kumpulan komuniti Random Alphabet sebelum Locco mengambil alih pada 2017. - Foto Astro AWANI/Fareez Azman

Idea Keretapi Sarong bermula pada tahun 2012 dibawah kumpulan komuniti Random Alphabet sebelum Locco mengambil alih pada 2017.

Jika tahun lalu, peserta hanya berkumpul di MOTAC Ampang, namun untuk edisi kali ini lima stesen LRT dan MRT antaranya stesen di Bandar Utama, Ampang dan Kajang yang dipilih sebagai lokasi peserta berkumpul sebelum ke Dataran Merdeka.

Turut hadir menyertai perarakan, Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Muhammad, Bakhtiar Wan Chik yang turut mengenakan kain sarung.

"Saya rasa ini satu perkara baik datang dari Seremban ke sini mungkin tahun depan kita akan panjangkan lagi dari luar Kuala Lumpur.

"Mungkin dari KLIA kita mulakan bawa pelancong asing menyertai program hari ini. Saya nampak beberapa pelancong luar datang, amat membanggakan kita dapat lihat solidariti rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia di sini (Dataran Merdeka)," jelasnya.

Memeriahkan lagi suasana, nyanyian lagu tradisional antarnya 'Enjit Enjit Semut', 'Lemak Manis' dan 'Anak Tupai' diikuti dengan kumpulan rebana dan penari dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Peserta kemudiannya menaiki bas 'Hoop On Hoop Off' di sekitar ibu negara sebelum tiba di Dataran Merdeka.

Bagaikan mengimbau kenangan lama, Keretapi Sarong 19 turut dimeriahkan dengan persembahan busana sarung, tarian joget lambak serta alunan runut awal 60-70an.

Bagi Pengarah Program Keretapi Sarong 19, Shamsul Bahrin Zainuzzaman kehadiran peserta di luar jangkaan jika dibandingkan dengan tahun lalu.

Meskipun promosi tentang program itu hanya dijalankan menerusi media sosial sahaja.

"Kita sangat terkejut 2017 ada 1,500 orang peserta, kita jemput melalui sosial media twitter dan instagram sahaja. Pada 2018 lebih kurang 2,000 orang hadir dan tahun ini (2019) 4,000 orang hadir.

"Walaupun cuaca yang tidak berapa mengalakkan dan kita dalam sosial media menwar warkan semua bawa topeng muka, minum air banyak. Objektif Keretapi Sarong mempromosikan sarung busana asli dilihat berjaya." katanya ketika ditemu bual di Dataran Merdeka pada Isnin.

Bagi peserta dalam dan luar negara, program tahunan itu perlu diperluas dalam memelihara kain sarung daripada ditelan zaman.

"Ini pertama kali saya menyertai program Keretapi Sarong ini, memang buat saya rasa patriotik. Apabila melihat semua peserta memakai sarung tanpa mengira bangsa, air mata saya mengalir dan saya berbangga kerana inilah rakyat Malaysia," kata Wan Nurul Eiman Wan Zulkifli yang juga peserta Keretapi Sarong 19.

Bagi Azrihafiz Zainal yang juga salah seorang peminat busana tradisional, program itu membuka peluang kepada pengiat seni tradisional untuk mempromosikan seni budaya itu kepada masyarakat.

"Memang sangat teruja program sebegini, kerana ini peluang kami ketengahkan balik pemakaian busana tradisi." katanya.

Bagi pelancong dari Tanzania ini, Rahma Nuru pemakaian sarung dengan pelbagai jenis dan warna amat menarik perhatiannya.

"Saya lihat rekaanyanya sangat cantik, sungguh menarik perhatian dan tenang apabila melihat sarung ini. Semua orang boleh memakainya, dan ia senang dipadankan dengan apa juga jenis pakaian anda," ujar Rahma.

Bagi memberi lebih impak kepada program, penganjur turut membuka empat pertandingan kepada peserta dengan hadiah berupa wang tunai serta tiket penginapan lokasi pelancongan dalam negara.

Antaranya Sarung Terbaik, Foto Terbaik, Sarong Scavenger Hunt dan #SarongChallenge.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/program-keretapi-sarong-19-warnai-hari-malaysia-217640